Oleh: SHORIATI OTHMAN
BERGELAR ikon sememangnya menjadi impian setiap insan. Namun, untuk memegang gelaran tersebut bukanlah semudah yang dilafazkan.
Seorang ikon mestilah memiliki keperibadian dan ilmu pengetahuan yang cemerlang. Dari perspektif berbeza, artis popular Mawi dan Adibah Noor mungkin telah menjadi ikon kepada peminat-peminatnya.
Sebagai contoh, Mawi sendiri pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri hiburan tanah air. Kemunculan beliau berjaya menarik perhatian semua golongan masyarakat.
Begitu juga Adibah Noor yang menjadi ikon kepada wanita bersaiz besar tetapi berkeyakinan tinggi.
Adibah Noor sebelum ini hanya dikenali menerusi suaranya di sebalik iklan-iklan komersial. Namun, berbekalkan keazaman, usaha yang tidak mengenal jemu dan sentiasa berfikiran positif berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang cukup membanggakan.
Bakat semula jadinya diakui umum setelah dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 2006.
Atas dasar itu penampilan Mawi dan Adibah Noor dijangka dapat memeriahkan lagi Anugerah Wanita Ikon 2007 yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Pada acara kemuncak, Mawi dan Adibah Noor akan membuat persembahan istimewa meraikan para finalis Wanita Ikon dan kehadiran kira- kira 1,000 tetamu jemputan.
Menurut Mawi, untuk menjadi seorang ikon, individu tersebut mestilah seorang yang serba boleh dalam pelbagai bidang dan kemahiran di mana boleh menjadi contoh teladan serta sumber inspirasi kepada seluruh kaum Hawa.
‘‘Anugerah seumpama ini memang bagus dan perlu diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha untuk memberi pengiktirafan kepada kaum wanita,’’ kata Mawi yang turut menjadikan ibunya sendiri sebagai ikon dalam hidupnya.
Setuju dengan pandangan Mawi, Adibah Noor berpendapat anugerah ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat yang selama ini menganggap wanita sebagai golongan yang lemah.
Tambahnya lagi, wanita hari ini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki. Buktinya ramai wanita yang mampu menjadi pemimpin politik dan anggota Kabinet seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Datuk Azalina Othman Said.
‘‘Kejayaan golongan wanita hari ini sudah cukup untuk membangkitkan semangat dan menjadi inspirasi serta motivasi kepada wanita lain terutamanya generasi muda,’’ ujar Adibah Noor.
Menyedari setiap individu memiliki keistimewaan masing-masing, Persatuan Usahawan Bumiputera Wanita Malaysia (USAHANITA) dan majalah Wanita kini membuka peluang kepada kaum wanita di seluruh negara untuk merebut peluang bergelar Wanita Ikon.
Jika anda berumur antara 25 tahun hingga 39 tahun, berpendidikan cemerlang, personaliti menarik, berjaya dalam kerjaya, aktif dalam bidang sukan dan aktiviti kemasyarakatan serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, anda berpeluang dipilih sebagai Wanita Ikon 2007.
Acara berprestij ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada kaum wanita yang berjaya dari pelbagai bidang profesional.
Kebijaksanaan peserta pula akan diadili oleh juri-juri profesional yang terdiri daripada Pengarah Urusan Securiforce Sdn. Bhd. Datuk Maznah Hamid, pelakon dan penerbit terkenal, Datin Seri Tiara Jacqualina, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.
Pencalonan berakhir pada 30 November ini. Seramai 20 peserta akan dipilih ke peringkat separuh akhir dan seterusnya pemilihan lapan orang finalis ke peringkat akhir pada 6 Disember. Hanya seorang peserta yang layak dipilih sebagai Wanita Ikon.
Pemenang layak membawa pulang hadiah sebuah kereta proton Persona sumbangan EON Berhad, barang kemas dari Habib Jewels yang bernilai RM30, 000, wang tunai bernilai RM5,000, sebuah trofi kristal, tiket penerbangan dan barangan L’Oreal.
Majlis formal bersulam aura glamor akan diserikan lagi dengan kehadiran artis-artis terkenal negara seperti Tony Eusof, Que Haidar, Zizan Nin, Awal Ashaari dan ramai lagi. Mereka akan mengiringi para finalis dalam acara ‘red carpet’ pada malam gala anugerah Wanita Ikon.
Pada majlis yang sama, pihak penganjur turut menyediakan empat lagi anugerah iaitu Anugerah Tokoh Wanita Ikon, Anugerah Khas Wanita Istimewa, Anugerah Khas Ibu Tunggal Cemerlang dan Anugerah Usahanita Cemerlang.
Sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai anugerah ini, sila dapatkan borang penyertaan di dalam majalah Wanita keluaran November dan Disember.
Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! turut memuatkan borang yang sama.
Untuk maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut, pembaca bolehlah menghubungi Unit Pengurusan Jenama (Majalah) di talian 03-89243934/3873.