Dec 5, 2007

PENCARIAN WANITA IKON DITERUSKAN - UTUSAN

Secara rambang mahupun melalui kajian terperinci, jelas peranan wanita di dalam pembangunan negara, masyarakat dan persekitarannya semakin berkesan dan amat relevan.

Golongan wanita semakin mendapat tempat dalam pelbagai bidang, malah peranan wanita semakin relevan dan meluas dalam segenap aspek kehidupan - baik di segi sosial, ekonomi, pentadbiran dan pengembangan minda mahupun politik.

Tidak hairanlah, jika sekarang ini banyak anugerah yang diwujudkan bagi menghargai jasa dan sumbangan kaum hawa hari ini.

Terbaru, penganjuran Pencarian Wanita Ikon dan Anugerah Wanita Ikon 2007 sebagai usaha mengiktiraf sumbangan kaum wanita di negara ini.

Anugerah Wanita Ikon 2007 anjuran majalah Wanita terbitan Utusan Karya, salah satu anak syarikat Kumpulan Utusan dibawakan bersama oleh pihak Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (Usahanita).

Terdapat enam kategori anugerah yang akan diberikan; Anugerah Wanita Ikon 2007, Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007, Anugerah Khas Usahanita-Wanita Istimewa OKU 2007, Anugerah Usahanita Cemerlang 2007 dan Anugerah Ibu Tunggal Ikon 2007.

Antara kriteria calon wanita ikon ialah pendidikan cemerlang, latarbelakang dan personaliti menarik, aktif dalam sukan, bujang ataupun sudah berkahwin, Bumiputera dan berusia antara 25 - 39 tahun.

Seramai 20 orang akan dipilih ke pusingan separuh akhir, di mana daripada jumlah itu hanya lapan peserta ke peringkat akhir untuk bertanding pada Malam Anugerah Ikon pada 30 Disember ini.

Antara hadiah menarik disediakan sebuah kereta Proton Persona, barang kemas bernilai RM10,000 daripada Habib, wang tunai RM5,000, tiket Penerbangan dari Poto Travel dan banyak lagi.

Bagi mereka yang berminat menyertai anugerah ini boleh mendapatkan borang penyertaan di dalam majalah Wanita keluaran November dan Disember serta di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Pengurusan Jenama (Majalah) 03-89243934/3873.

No comments: