Oct 8, 2007

ANUGERAH WANITA IKON 2007 JADI REBUTAN - UTUSAN

KUALA LUMPUR 31 Okt. – Golongan wanita di negara ini berpeluang memenangi Anugerah Wanita Ikon 2007 yang menawarkan hadiah utama berupa sebuah kereta Proton Persona, tiket penerbangan, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM30,000.
Anugerah berprestij anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia dengan kerjasama majalah Wanita terbitan anak syarikat Kumpulan Utusan, Utusan Karya Sdn. Bhd. dan Radio Wanita itu bertujuan memberi pengiktirafan kepada wanita yang berjaya.
Unit Pengurusan Jenama (Majalah) Utusan Melayu (M) Berhad dalam satu kenyataan hari ini berkata, daripada pencalonan yang diterima, sebanyak 20 peserta akan dipilih ke peringkat separuh akhir.
“Daripada jumlah itu, hanya lapan peserta akan dipilih ke peringkat akhir dan salah seorang daripada mereka akan dinobatkan sebagai Pemenang Anugerah Wanita Ikon 2007.
“Pihak penganjur turut menyediakan Anugerah Tokoh Wanita Ikon, Anugerah Khas Wanita Istimewa, Anugerah Khas Ibu Tunggal Cemerlang dan Anugerah Usahanita Cemerlang,” kata kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, para peserta akan diadili oleh juri profesional yang terdiri daripada Pengarah Urusan Securiforce Sdn. Bhd., Datuk Maznah Ahmad; pelakon, Datin Seri Tiara Jacquelina; Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Dr. Sharifah Zarah Syed Ahamad.
Pemenang akan menerima anugerah pada 30 Disember ini dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Perdagangan Dunia Putra (PWTC).
“Orang ramai yang ingin menyertai majlis gilang-gemilang itu boleh menempah meja yang dijual dengan harga antara RM3,000 hingga RM20,000 bagi satu meja,” kata kenyataan itu.
Borang penyertaan untuk Anugerah Wanita Ikon boleh diperoleh dalam majalah Wanita keluaran November.