Dec 25, 2007

WANITA DLM MISI BANJIR DI PEKAN, ROMPIN & SEGAMAT

Membantu membersihkan dewan orang ramai di Segamat, Johor selepas banjir surut.

Ketua Puteri UMNO, Ybhg Dato Noraini Ahmad menyampaikan bantuan banjir sumbangan Kayla Beverly Hills.

Berbincang tentang bantuan banjir di yang diperlukan di Pusat Pemindahan Banjir Pekan, Pahang.
Beramah mesra dengan mangsa banjir di pusat pemindahan banjir di Pekan, Pahang


Dec 15, 2007

PENCARIAN PELAPIS USAHAWAN WANITA DALAM WANITA IKON 2007 - METRO

PENCARIAN Wanita Ikon 2007 masih berlangsung kini sebelum pengumuman rasmi dilakukan pada 30 Disember nanti.
Ia sebagai pengiktirafan terhadap wanita berjaya sekali gus mencari pelapis kepada usahawan wanita sedia ada.
Anugerah Wanita Ikon dianjurkan Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia (Usahanita) dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk majalah tempatan dan Radio Wanita WFM dengan sokongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Ciri penerima anugerah haruslah berpendidikan cemerlang, berpersonaliti menarik, berjaya dalam kerjaya, berkeperibadian murni, aktif dalam sukan dan aktiviti kemasyarakatan serta mempunyai ciri kepimpinan yang tinggi.
Beliau dilihat sebagai wanita serba boleh untuk dijadikan teladan dan sumber inspirasi kepada wanita lain di seluruh Malaysia.
Hadiah lumayan menanti pemenang termasuk kereta Proton Persona, wang tunai RM5,000, trofi kristal, barang kemas bernilai RM30,000, tiket penerbangan dan barangan kosmetik.
Seramai 20 calon layak ke peringkat separuh akhir dan lapan saja layak ke peringkat akhir pada majlis bakal diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra itu nanti.
Pereka fesyen terkenal tanah air turut bermurah hati menaja pakaian membabitkan pereka seperti Datuk Tom Abang Saufi, Rizalman Ibrahim, Kem Salleh, Mohd Azizi, Sharifah Kirana, Putra Aziz, Rahman Saif dan Syaiful Bahrim.




Selain Anugerah Wanita Ikon 2007, anugerah lain disediakan termasuk Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007 yang akan diberikan kepada tokoh wanita negara yang banyak berbakti kepada masyarakat selama ini.
Tiga anugerah lain termasuk Anugerah Khas Wanita Istimewa, Anugerah Khas Ibu Tunggal Cemerlang dan Anugerah Usahanita Cemerlang 2007.

8 FINALIS ANUGERAH WANITA IKON - UTUSAN, 14 Dec 2007

Dari kiri : Chef Erin, Sharifah Syawati, Rozita Ibrahim, Maznah Zolkifli, Raja Reza Shazmin, Norzainah Ghani, Dr Farah Hani & Normaziah.

Dec 8, 2007

ARTIS POPULAR MERIAHKAN WANITA IKON - UTUSAN

Oleh: SHORIATI OTHMAN

BERGELAR ikon sememangnya menjadi impian setiap insan. Namun, untuk memegang gelaran tersebut bukanlah semudah yang dilafazkan.

Seorang ikon mestilah memiliki keperibadian dan ilmu pengetahuan yang cemerlang. Dari perspektif berbeza, artis popular Mawi dan Adibah Noor mungkin telah menjadi ikon kepada peminat-peminatnya.

Sebagai contoh, Mawi sendiri pernah mencetuskan fenomena luar biasa dalam industri hiburan tanah air. Kemunculan beliau berjaya menarik perhatian semua golongan masyarakat.

Begitu juga Adibah Noor yang menjadi ikon kepada wanita bersaiz besar tetapi berkeyakinan tinggi.

Adibah Noor sebelum ini hanya dikenali menerusi suaranya di sebalik iklan-iklan komersial. Namun, berbekalkan keazaman, usaha yang tidak mengenal jemu dan sentiasa berfikiran positif berjaya meletakkan dirinya ke satu tahap yang cukup membanggakan.

Bakat semula jadinya diakui umum setelah dinobatkan sebagai pemenang Vokal Terbaik dalam Anugerah Juara Lagu 2006.

Atas dasar itu penampilan Mawi dan Adibah Noor dijangka dapat memeriahkan lagi Anugerah Wanita Ikon 2007 yang bakal berlangsung pada 30 Disember ini di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Pada acara kemuncak, Mawi dan Adibah Noor akan membuat persembahan istimewa meraikan para finalis Wanita Ikon dan kehadiran kira- kira 1,000 tetamu jemputan.

Menurut Mawi, untuk menjadi seorang ikon, individu tersebut mestilah seorang yang serba boleh dalam pelbagai bidang dan kemahiran di mana boleh menjadi contoh teladan serta sumber inspirasi kepada seluruh kaum Hawa.

‘‘Anugerah seumpama ini memang bagus dan perlu diteruskan pada masa akan datang sebagai satu usaha untuk memberi pengiktirafan kepada kaum wanita,’’ kata Mawi yang turut menjadikan ibunya sendiri sebagai ikon dalam hidupnya.

Setuju dengan pandangan Mawi, Adibah Noor berpendapat anugerah ini secara tidak langsung membuka mata masyarakat yang selama ini menganggap wanita sebagai golongan yang lemah.

Tambahnya lagi, wanita hari ini sudah mampu berdiri sama tinggi dengan lelaki. Buktinya ramai wanita yang mampu menjadi pemimpin politik dan anggota Kabinet seperti Datuk Seri Rafidah Aziz, Datuk Seri Shahrizat Jalil dan Datuk Azalina Othman Said.

‘‘Kejayaan golongan wanita hari ini sudah cukup untuk membangkitkan semangat dan menjadi inspirasi serta motivasi kepada wanita lain terutamanya generasi muda,’’ ujar Adibah Noor.

Menyedari setiap individu memiliki keistimewaan masing-masing, Persatuan Usahawan Bumiputera Wanita Malaysia (USAHANITA) dan majalah Wanita kini membuka peluang kepada kaum wanita di seluruh negara untuk merebut peluang bergelar Wanita Ikon.

Jika anda berumur antara 25 tahun hingga 39 tahun, berpendidikan cemerlang, personaliti menarik, berjaya dalam kerjaya, aktif dalam bidang sukan dan aktiviti kemasyarakatan serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi, anda berpeluang dipilih sebagai Wanita Ikon 2007.

Acara berprestij ini bertujuan memberi pengiktirafan kepada kaum wanita yang berjaya dari pelbagai bidang profesional.

Kebijaksanaan peserta pula akan diadili oleh juri-juri profesional yang terdiri daripada Pengarah Urusan Securiforce Sdn. Bhd. Datuk Maznah Hamid, pelakon dan penerbit terkenal, Datin Seri Tiara Jacqualina, Ketua Puteri UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita, Datin Dr. Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Pencalonan berakhir pada 30 November ini. Seramai 20 peserta akan dipilih ke peringkat separuh akhir dan seterusnya pemilihan lapan orang finalis ke peringkat akhir pada 6 Disember. Hanya seorang peserta yang layak dipilih sebagai Wanita Ikon.

Pemenang layak membawa pulang hadiah sebuah kereta proton Persona sumbangan EON Berhad, barang kemas dari Habib Jewels yang bernilai RM30, 000, wang tunai bernilai RM5,000, sebuah trofi kristal, tiket penerbangan dan barangan L’Oreal.

Majlis formal bersulam aura glamor akan diserikan lagi dengan kehadiran artis-artis terkenal negara seperti Tony Eusof, Que Haidar, Zizan Nin, Awal Ashaari dan ramai lagi. Mereka akan mengiringi para finalis dalam acara ‘red carpet’ pada malam gala anugerah Wanita Ikon.

Pada majlis yang sama, pihak penganjur turut menyediakan empat lagi anugerah iaitu Anugerah Tokoh Wanita Ikon, Anugerah Khas Wanita Istimewa, Anugerah Khas Ibu Tunggal Cemerlang dan Anugerah Usahanita Cemerlang.

Sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertai anugerah ini, sila dapatkan borang penyertaan di dalam majalah Wanita keluaran November dan Disember.

Akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! turut memuatkan borang yang sama.

Untuk maklumat lanjut mengenai anugerah tersebut, pembaca bolehlah menghubungi Unit Pengurusan Jenama (Majalah) di talian 03-89243934/3873.

Dec 5, 2007

PENCARIAN WANITA IKON DITERUSKAN - UTUSAN

Secara rambang mahupun melalui kajian terperinci, jelas peranan wanita di dalam pembangunan negara, masyarakat dan persekitarannya semakin berkesan dan amat relevan.

Golongan wanita semakin mendapat tempat dalam pelbagai bidang, malah peranan wanita semakin relevan dan meluas dalam segenap aspek kehidupan - baik di segi sosial, ekonomi, pentadbiran dan pengembangan minda mahupun politik.

Tidak hairanlah, jika sekarang ini banyak anugerah yang diwujudkan bagi menghargai jasa dan sumbangan kaum hawa hari ini.

Terbaru, penganjuran Pencarian Wanita Ikon dan Anugerah Wanita Ikon 2007 sebagai usaha mengiktiraf sumbangan kaum wanita di negara ini.

Anugerah Wanita Ikon 2007 anjuran majalah Wanita terbitan Utusan Karya, salah satu anak syarikat Kumpulan Utusan dibawakan bersama oleh pihak Persatuan Usahawan Wanita Bumiputra Malaysia (Usahanita).

Terdapat enam kategori anugerah yang akan diberikan; Anugerah Wanita Ikon 2007, Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007, Anugerah Khas Usahanita-Wanita Istimewa OKU 2007, Anugerah Usahanita Cemerlang 2007 dan Anugerah Ibu Tunggal Ikon 2007.

Antara kriteria calon wanita ikon ialah pendidikan cemerlang, latarbelakang dan personaliti menarik, aktif dalam sukan, bujang ataupun sudah berkahwin, Bumiputera dan berusia antara 25 - 39 tahun.

Seramai 20 orang akan dipilih ke pusingan separuh akhir, di mana daripada jumlah itu hanya lapan peserta ke peringkat akhir untuk bertanding pada Malam Anugerah Ikon pada 30 Disember ini.

Antara hadiah menarik disediakan sebuah kereta Proton Persona, barang kemas bernilai RM10,000 daripada Habib, wang tunai RM5,000, tiket Penerbangan dari Poto Travel dan banyak lagi.

Bagi mereka yang berminat menyertai anugerah ini boleh mendapatkan borang penyertaan di dalam majalah Wanita keluaran November dan Disember serta di dalam akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo. Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi Unit Pengurusan Jenama (Majalah) 03-89243934/3873.

Dec 3, 2007

ANUGERAH WANITA IKON 2007, IKTIRAF WANITA - UTUSAN

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

SEBUAH kereta Proton Persona, wang tunai bernilai RM5,000, sebuah trofi kristal, barang kemas Habib Jewels bernilai RM30,000, tiket penerbangan dan barangan Loreal akan menjadi milik wanita yang terpilih menjadi Wanita Ikon 2007.

Anugerah berprestij anjuran Persatuan Usahawan Wanita Bumiputera Malaysia dengan kerjasama majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., dan Radio Wanita itu, bagi memberi pengiktirafan terhadap kaum wanita yang berjaya.

Pengarang Majalah Wanita, Mahani Awang berkata, seorang wanita yang layak digelar ikon mestilah menepati ciri-ciri antaranya, berumur antara 25 tahun hingga 39 tahun, berpendidikan cemerlang, personaliti menarik, berjaya dalam kerjaya, berperibadian murni, aktif dalam bidang sukan dan aktiviti kemasyarakatan serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang tinggi.

‘‘Daripada pencalonan yang akan berakhir pada 30 November ini, sebanyak 20 peserta dipilih ke peringkat separuh akhir dan seterusnya lapan orang finalis ke peringkat akhir. Hanya seorang yang layak bergelar Wanita Ikon dan bakal menerima anugerah pada majlis yang akan diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 30 Disember nanti,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Anugerah Wanita Ikon 2007 baru-baru ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarang Utusan Karya Sdn. Bhd., Zin Mahmud, Presiden Usahanita Malaysia, Datuk Rokiah Omar dan Pengarah Urusan Securiforce (M) Sdn. Bhd., Datuk Maznah Hamid.

Menurut Mahani, selain anugerah tersebut, sebuah anugerah khas iaitu Anugerah Tokoh Wanita Ikon 2007 akan diberikan kepada seorang tokoh wanita negara yang telah berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat selama ini.

‘‘Di samping itu, terdapat tiga anugerah khas lain iaitu Anugerah Khas Wanita Istimewa, Anugerah Khas Ibu Tunggal Cemerlang dan Anugerah Usahanita Cemerlang 2007,’’ jelasnya.

Beliau turut berharap lebih ramai penaja yang sanggup menyumbangkan wang bagi digunakan oleh peserta separuh akhir dalam menjayakan kertas kerja yang dipertanggungjawab kepada mereka.

‘‘Wang itu akan digunakan untuk mempertingkatkan aktiviti yang ditugaskan kepada peserta-peserta itu. Dari situ kita akan menilai keupayaan dan dan ciri-ciri Wanita Ikon,’’ jelasnya.

Kepada yang berminat untuk menyertai program ini, katanya, dapatkan borang penyertaan di dalam majalah Wanita keluaran November dan Disember ini.

Sementara itu, menurut Rokiah, pada malam majlis itu, Usahanita turut melancarkan buku mengenai rangkaian ahli seluruh Malaysia dan maklumat peluang perniagaan.